Sunday, September 4, 2011

kajian kes

Kajian Kes 1

“Hargai Harta Awam”


Nama saya Yusri dan saya berumur 11 tahun. Semasa menulis kisah ini, saya baru pulang dari hospital. Saya telah berada di hospital selama 2 hari kerana mengalami keretakan tulang dan kecederaan di beberapa bahagian badan saya setelah dipukul oleh beberapa orang rakan sekolah. Puncanya kerana saya telah mengadu kepada guru besar tentang perbuatan mereka yang cuba merosakkan telefon awam di kawasan sekolah. Mereka telah menggunakan tukul besi untuk mengambil duit di dalam telefon tersebut. Mereka menunggu sehingga saya pulang dari sekolah dan terus membelasah saya apabila saya berada jauh dari kawasan sekolah. Rakan-rakan yang ternampak kejadian ini telah menelefon bapa saya. Setelah melihat keadaan saya, bapa terus membawa saya ke hospital. Jika tidak, mungkin keadaan saya akan lebih teruk.



Kajian Kes 2

“Kerana Tiada Tandas Sesuai”


Nama saya Su Ling dan berumur 10 tahun. Saya adalah seorang murid kurang upaya dan menggunakan kerusi roda setiap masa untuk bergerak. Di sekolah, saya seorang sahaja pelajar kurang upaya dan saya sering mengalami masalah menggunakan tandas kerana sekolah tidak menyediakan kemudahan tandas untuk pelajar kurang upaya seperti saya. Rakan-rakan cuba membantu saya mengatasi masalah ini tetapi saya tidak mahu menyusahkan mereka. Akhirnya, saya terpaksa memakai lampin ke sekolah supaya tidak perlu lagi ke tandas Saya amat malu kerana terpaksa menggunakan lampin. Pada suatu hari, semasa sesi ujian, saya telah meminta masa yang lebih untuk menjawab soalan kerana saya juga mengalami kesukaran untuk menulis tetapi permintaan saya ditolak.











Kajian Kes 3

“Mengamalkan Kepercayaan Agama”


Lim, Meor, Harjit, Devi, Salwa dan Sally adalah rakan baik. Kesemua mereka adalah sekelas dan sering mengulangkaji pelajaran dan beriadah bersama-sama. Tetapi hari ini hanya mereka berempat sahaja yang berada di sekolah. Harjit dan Salwa tidak bersama mereka. Harjit tidak dapat hadir ke sekolah kerana pihak sekolah tidak membenarkan Harjit menyimpan janggut dan misai jika ingin bersekolah di situ. Bapa Harjit tidak membenarkannya mencukur janggut dan misai kerana menurut kepercayaan kaum Sikh, lelaki yang telah mencapai umur baligh hendaklah menyimpan janggut dan misai. Pihak sekolah telah memberi kata dua kepada Harjit, samada mencukur janggut untuk terus bersekolah di situ atau berhenti dan bersekolah di tempat lain. Bapa Harjit telah mengambil keputusan untuk menghantar Harjit ke sekolah lain. Salwa pula telah digantung persekolahan selama seminggu. Dia telah digantung kerana tidak memakai tudung yang menepati peraturan sekolah. Mereka semua sedih dengan keadaan ini dan berharap semua akan kembali seperti biasa.



Kajian Kes 4

“Gajah”


Ramu seorang pelajar Tahun 6 dan berasal dari Ladang Sogamana. Susuk badan Ramu amat besar dan dia tidak kelihatan seperti pelajar Tahun 6. Dia juga seorang yang cemerkap dan selalu terlanggar kerusi, meja dan barang-barang lain. Oleh kerana saiz badan Ramu yang besar, dia berasa tidak selesa kerana kerusi dan mejanya kecil dan sempit. Ini menyebabkan Ramu selalu bangun dan mundar mandir di dalam kelas. Sikap Ramu ini membuatkan gurunya terasa marah lalu memanggil Ramu ”Gajah! Duduk dan jangan ganggu pelajar lain!” Rakan-rakannya turut memanggil Ramu dengan nama tersebut dan mereka kerap mengejek dan meniru gaya jalannya. Ramu sering ditolak dan mereka akan lari dengan memanggil ”Oi Gajah! Tangkaplah aku kalau kau larat!” dan Ramu akan ditertawakan.

Keadaan ini menyebabkan Ramu sering berasa rendah diri, tidak mempunyai keyakinan diri dan akan mengasingkan dirinya dari rakan-rakan sekelas untuk mengelakkan daripada diejek. Perasaan Ramu ini menyebabkan prestasi akademik Ramu jatuh. Dia enggan ke sekolah dan akan memberi berbagai-bagai alasan untuk tidak ke sekolah.


Kajian Kes 5

“Letih dan Mengantuk”


Sheila, berusia 10 tahun, bercita-cita untuk menjadi seorang guru apabila dewasa kelak. Tetapi, Sheila beranggapan cita-cita itu tidak mungkin tercapai. Ini kerana prestasi akademiknya tidak begitu memberangsangkan. Walaupun dia telah berusaha untuk menumpukan perhatian pada pelajaran di sekolah, dia mendapati dia selalu letih dan mengantuk. Tiap-tiap pagi dia harus bangun pada pukul 5 pagi untuk menolong ibunya menyediakan kuih-muih yang akan dijual oleh ibunya. Selepas pulang dari sekolah pula, dia harus memasak untuk abang dan adik-adiknya sebelum membantu ibunya berniaga di gerai. Sheila selalu tidak mempunyai masa untuk menyiapkan kerja-kerja rumahnya. Dia selalu mengantuk di dalam kelas dan menyebabkan guru selalu memarahinya. Sheila juga tidak mempunyai masa untuk kegiatan ko-kurikulum sekolah pada sebelah petang dan ini juga membuatkan Sheila dimarahi oleh gurunya. Ibunya memberitahu Sheila terpaksa menamatkan persekolahan sehingga Tahun 6 sahaja.


Kajian Kes 6

“Sekolah yang Bosan”


Nama saya Hong, saya berasal dari sebuah kampung di Sekinchan. Saya berumur 9 tahun tetapi saya tidak suka ke sekolah. Saya mendapati amat susah untuk memahami pelajaran kerana lemah dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sejak dari Tahun 1. Saya mendapati semakin lama semakin susah untuk memahaminya. Lama-kelamaan saya menjadi bosan dan baru-baru ini, saya bersama beberapa rakan yang lain mengambil keputusan untuk ponteng sekolah. Kami menghabiskan masa dengan menghisap rokok, melepak dan bermain bola. Kami rasa seronok kerana tidak perlu menghadapi guru-guru yang selalu memarahi dan menghina kami dengan perkataan-perkatan seperti bodoh, bangang, lembab, tidak berguna dan lain-lain lagi. Mereka juga berkata adalah lebih baik saya dan rakan-rakan jangan berada di dalam kelas kerana kami hanya mengganggu pelajar-pelajar lain untuk belajar. Ibu bapa kami juga tidak mempedulikan kami samada kami menyiapkan kerja rumah atau tidak. Apabila kami bermain bola dengan budak-budak kampung yang lain, kami akan memukul mereka jika mereka menang. Kami rasa puas dan seronok. Kami dibiarkan untuk membuat sesuka hati kami asalkan tidak meninggalkan kampung.




Kajian Kes 7

“Jakun”

Azlan, 10 tahun, sedang menonton sebuah rancangan dokumentari mengenai sebuah puak Afrika bersama ibu bapanya. Di akhir rancangan, Azlan bertanya kepada ibu bapanya adakah puak didalam rancangan tersebut adalah seperti ’Jakun’, iaitu golongan peribumi Malaysia yang jahil, primitif, tidak bertamadun dan tidak bermoral kerana memakai pakaian yang tidak senonoh. Ibu bapanya kemudian bertanya mengapa Azlan berpandangan sedemikian. Azlan menjelaskan di dalam subjek Kajian Tempatan dia telah diajar mengenai kaum-kaum di Malaysia. Gurunya memberitahu bahawa kaum peribumi di Malaysia adalah tidak bertamadun, masih tinggal di dalam hutan walaupun Malaysia telah membangun dengan pesat. Gurunya telah menunjukkan gambar-gambar kaum peribumi di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk menunjukkan betapa primitifnya kaum peribumi tersebut dengan pakaian mereka yang tidak senonoh.

Di dalam kelas Azlan juga ada seorang pelajar dari kalangan kaum peribumi bernama Japit Anak Timbangan dan gurunya telah mengatakan bapa Japit seorang yang berani kerana telah meninggalkan keluarga dan penempatan di dalam hutan untuk bekerja di bandar Miri. Jika tidak kerana bapanya, mungkin sekarang Japit akan tinggal di dalam hutan dan memakai pakaian yang tidak senonoh.


Kajian Kes 8

“Guru Moral”

Cikgu Rosa sedang mengandung 3 bulan. Dia telah ditugaskan untuk menjadi guru gantian bagi kelas Moral Tingkatan 1 sepanjang guru moral kelas tersebut sedang cuti bersalin. Cikgu Rosa memberitahu Guru Besar walaupun waktu pengajarannya kurang dari yang telah ditetapkan (hanya 16 jam seminggu), dia tidak mempunyai kemahiran untuk mengajar moral dan tambahan pula dia sering mengalami masalah pening dan muntah.

Walaubagaimanapun, Cikgu Rosa tiada pilihan, dia harus menjadi guru gantian untuk kelas tersebut kerana waktu pengajaran guru-guru lain telah penuh. Semasa Cikgu Rosa mula masuk ke kelas tersebut dia telah mengadu bahawa kelas tersebut ’berbau’ dan dia tidak tahan dengan bau minyak kelapa. Dia telah memberi arahan kepada pelajar-pelajar kelas tersebut bahawa mereka harus berhenti menggunakan minyak kelapa sebagai minyak rambut dan berhenti menggunakan minyak sapi didalam masakan.

Pelajar kelas tersebut, terutamanya pelajar-pelajar India berasa tidak tidak puas hati dan memberitahu ibu bapa mengenai arahan Cikgu Rosa itu. Mereka juga memberitahu bahawa Cikgu Rosa suka merujuk mereka sebagai ’Keling’. Beberapa ibu bapa pelajar telah mengadu kepada pihak pentadbir sekolah tetapi para pelajar diberi amaran supaya tidak mendatangkan masalah kepada pihak sekolah.



Kajian Kes 9

“Memilih Ketua”


Cikgu Zamri sedang mengajar matapelajaran Sivik & Kewarganegaraan. Dia akan melakukan aktiviti berkumpulan pada hari ini. Cikgu meminta pelajar-pelajarnya membuat 6 kumpulan dan setiap kumpulan hendaklah melantik seorang ketua di kalangan mereka. Apabila senarai ketua kumpulan dihantar kepada Cikgu Zamri, beliau telah menukar ketua untuk Kumpulan 1. Cikgu Zamri kelihatan tidak puas hati dengan pemilihan David sebagai ketua Kumpulan 1 kerana David bukanlah seorang pelajar yang begitu cerdas di dalam kelasnya lalu Cikgu Zamri telah melantik ketua kumpulan baru untuk menggantikan David. Pada hari tersebut juga Cikgu Zamri telah mengadakan pemilihan ketua darjah yang baru untuk menggantikan ketua darjah yang telah berpindah ke sekolah lain. Beberapa nama telah dicalonkan dan seorang pelajar perempuan bernama Haliza telah mendapat undian majoriti. Walaupun Haliza mendapat undian majoriti, Haliza telah diganti dengan Azman kerana beliau merasa Haliza terlalu lembut dan mungkin tidak mampu untuk menjadi ketua darjah.



Kajian Kes 10

“Dari Cuba-cuba Hingga ke Penjara”

Surat daripada Razif yang berada di Pusat Pemulihan Dadah kepada rakannya, Khalid:


Khalid,

Aku sekarang berada di Pusat Pemulihan Dadah. Aku sungguh menyesal kerana telah telah terlibat dengan najis dadah. Semasa di sekolah rendah, aku telah mencuba menghidu gam atas pelawaan rakan-rakan. Semasa Tingkatan 1 pula, aku telah cuba menghisap rokok. Aku selalu ponteng kelas dan melepak di padang untuk menghisap rokok dan menghidu gam. Pada suatu hari, seorang abang Tingkatan 4 telah menghampiri kami dan turut serta merokok bersama kami. Dia telah mempelawa kami untuk mencuba sejenis rokok ’istimewa’. Kami pun telah mencubanya. Pada mulanya aku berasa pening, tetapi lama-kelamaan aku mulai biasa dengan tabiat itu. Aku tidak sedar rokok itu telah dicampur dengan dadah. Semakin hari aku mulai rasa gian. Sehari tanpa dadah, aku akan merasa tidak keruan. Aku sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan dadah. Aku telah mencuri dari ibu bapa aku untuk membeli dadah. Tetapi duit untuk membeli dadah sentiasa tidak mencukupi. Terdesak untuk mendapatkan duit, aku cuba merompak sebuah rumah dan nasib aku tidak baik, aku telah tertangkap. Aku sekarang sepatutnya bersama-sama kau menunggu keputusan SPM. Aku menyesal!

dato noraini, parlimen parit sulong